premiumeuropeanproducts.eu

Produk PDO

Produk PDO

PDO Konservolia Rovion

Zaitun Konservolia Rovion adalah daripada pokok zaitun yang ditanam di bandar Rovies di tengah-tengah Greece. Pokok Konservolia Rovion yang dipelihara ini dicirikan dengan keteguhan pokoknya yang luar biasa serta kemampuan produktivitinya yang tinggi. Ini merupakan hidangan yang paling biasa didapati di Greece. Ciri unik produk ini dikaitkan dengan persekitaran semula jadi dan iklim mikro tertentu di kawasan tersebut. Keadaan ini menjadikan isi buah zaitun rangup dengan warna hijau gelap dan aroma istimewa minyak zaitun. Ciri tersendiri “Konservolia Rovion” ialah keawalan tanaman ini yang luar biasa. Hari ini, buah zaitun ini dianggap sebagai variasi buah zaitun Greek terawal. Dalam variasi ini, pemprosesan semula jadi digunakan tanpa menggunakan soda kaustik, yang digunakan dalam pemprosesan zaitun hijau di seluruh dunia. Buah zaitun jenis ini terkenal dengan nilai nutrisi serta kualitinya yang sangat baik dengan rasa Mediterranean yang sejati. Di samping itu, Konservolia Rovion boleh dihidangkan mentah atau dihias pada banyak sajian yang dicadangkan.

 

PDO Konservolia Stylidas

Konservolia ialah variasi utama yang ditanam di kawasan Fthiotida dan merupakan produk PDO. Variasi ini menghasilkan buah zaitun sedia dimakan yang terkenal dengan ciri organoleptik yang kaya. Iklim Mediterranean yang sederhana di rantau ini, dengan altitud tanah untuk bercucuk-tanam yang sesuai, jarak dari laut, serta purata suhu tahunan setinggi 16.5 darjah Celcius, membantu pokok daripada variasi ini berkembang biak dan seterusnya memastikan keseimbangan semua kandungan nutrien yang menjadikannya unik dengan kuantiti pengeluaran yang memuaskan. Model pengeluaran yang digunakan adalah berdasarkan prinsip bersepadu dan pengurusan persekitaran. Model ini telah dilaraskan kepada penanaman zaitun dan boleh diadaptasi mengikut kaedah yang mematuhi semua syarat standard pensijilan nasional dan global, serta mengikut keperluan sistem kualiti sedia ada, selaras dengan prinsip dan spesifikasi pengurusan bersepadu.

 

PDO Korinthiaki Stafida Vostizza

Di kawasan separa pergunungan dan pergunungan Aeghialia, Corinthian Currant Vostizza, produk yang unik ditanam berabad-abad lamanya. Sejak zaman Homer hingga Ratu Elizabeth A, anggur Vostizza ditanam merentasi zaman.  Penghasilan kismis ini sangat lama dan memakan masa. Selepas dituai, buah-buahan (anggur) ditabur di kawasan luar yang direka khas untuk pengeringan di bawah cahaya matahari. Proses pengeringan diikuti dengan langkah mengasingkan kismis terbaik dan seterusnya pembungkusan. Kismis Corinthian digunakan dalam pastri sebagai pemanis semula jadi. Terdapat pelbagai resipi Greek yang mengandungi kismis dalam bentuk semula jadi, malah ramai orang menikmatinya sebagai snek yang sihat.

 

PDO Krokos Kozanis

PDO Krokos Kozanis ialah safron petikan tangan premium dengan bebenang merah yang panjang, aroma bunga, rasa yang unik serta warna yang terang dan jelas. Safron ini dilindungi oleh pensijilan dan diperoleh daripada ladang terbaik di kawasan pergunungan Kozani, Greece, yang terkenal dengan penghasilan safron terbaik di dunia. Krokos Kozanis, salah satu daripada pelbagai produk PDO (Penetapan Asal Yang Dilindungi) di Greece, ditanam dan dituai oleh kira-kira 1,000 keluarga di 25 buah kampung dan kebun di sekitar bandar Kozani, Barat Laut Greece. Musim menuai jatuh pada akhir bulan Oktober dan awal November. Memperoleh sekilo safron bermakna memetik bebenang serbuk daripada kira-kira 150,000 bunga.

 

PDO Graviera Kritis

Graviera of Crete adalah salah satu keju Crete yang paling terkenal yang digunakan secara meluas di Greece. Dari segi geografi, keju ini terletak di pulau Crete. Nama Graviera of Crete diiktiraf sebagai produk penetapan asal yang dilindungi (PDO). Keju ini mempunyai sejarah yang panjang, dan merupakan keju graviera Greek yang paling terkenal. Secara tradisinya, keju ini dihasilkan daripada campuran kedua-dua susu kambing dan biri-biri, yang boleh mencapai nisbah sehingga 20%. Ini merupakan keju sedia dimakan berwarna putih-kuning dan berongga kecil berselerak, dengan tekstur pejal, serta aroma dan rasa yang mengagumkan. Keju ini boleh ditambah pada semua jenis hidangan Greek, dan digunakan juga sebagai sarapan pagi. Secara tradisi, keju ini dimakan bersama raki atau wain bersama-sama dengan madu, kacang, buah-buahan kering & sayur-sayuran segar. Keju ini bebas daripada bahan pengawet, pewarna dan antibiotik, dimatangkan selama sekurang-kurangnya 3 bulan untuk mendapatkan ciri tersendiri yang membuatnya sangat dicari-cari. Keju ini ialah keju berkualiti tinggi dengan sensasi yang menyenangkan.

 

PDO Mastiha Chiou

Pengeluaran Mastiha hanya berlaku di Mastihohora, di Selatan Pulau Chios, disebabkan keadaan tanah dan iklim yang unik di rantau ini. Ini merupakan produk legenda yang berjalin dengan tradisi, situasi sejarah dan pertukaran budaya, kerana resin ini diperoleh sejak zaman purba. Mastiha ialah resin semula jadi yang berasal daripada pokok malar hijau bernama “Schinos” dan tergolong dalam keluarga Pistacia. Ini merupakan resin beraroma semula jadi dalam bentuk titisan air mata yang jatuh di atas tanah daripada torehan dangkal yang dibuat oleh penanam pada batang pokok dan dahan utama menggunakan alat yang tajam. Daripada Mastiha, kita akan menemui pelbagai jenis bahan terapeutik dan beraroma dan bahan ini mempunyai pelbagai kegunaan dalam kedua-dua sektor makanan dan kesihatan/penjagaan diri berskala global. Resin ini telah direkodkan sebagai gula-gula getah purba semula jadi yang pertama di dunia, digunakan untuk membersihkan gigi dan menyegarkan nafas. Selain itu, cara penanaman Mastiha telah dimasukkan oleh UNESCO ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Kemanusiaan Tak Ketara.

 

PDO Minyak Mastiha

Minyak Mastiha ialah resin semula jadi beraroma, yang sukar didapati, dalam bentuk titisan air mata yang dihasilkan daripada pokok damar hanya di bahagian Selatan Pulau Chios. Minyak Mastiha digunakan dalam bentuk semula jadinya atau dalam pelbagai bentuk lain. Produk popular daripada tanaman ini ialah minyak mastik yang dihasilkan daripada penyulingan Mastiha Chiou dengan wap. Minyak ini 100% produk semula jadi dan mengandungi pelbagai bahan terapeutik dan beraroma yang luar biasa. Kandungannya terkenal dengan nilai nutrisi dan sumbangan terhadap produk penjagaan diri: krim antiseptik, produk kebersihan mulut dan produk penjagaan badan. Minyak ini juga digunakan sebagai agen perisa dalam pengeluaran makanan. Satu lagi aspek positifnya ialah minyak ini mempunyai tindakan antimikrob ke atas bakteria punca ulser.

 

PDO Vorios Mylopotamos Rethymnis Kritis

Minyak Zaitun Ekstra Dara Vorios Mylopotamos, Rethymnis PDO, berasal dari kawasan Mylopotamos Utara di Rethymno (Crete) dan dihasilkan menggunakan kaedah mekanikal semata-mata. Minyak zaitun ini menyerlah kerana warna kuning keemasan dan rasa buahnya. Variasi buah zaitun utama untuk menghasilkan minyak zaitun ini ialah Koroneiki. Tahap keasidan yang rendah yang dikaitkan dengan kualiti minyak zaitun, menampilkan ciri-ciri tersendiri Minyak Zaitun Ekstra Dara. Pada semua peringkat, daripada penanaman hinggalah pembungkusan, langkah penting diambil, bukan sahaja untuk memastikan kualiti, tetapi, juga kelestarian pengeluarannya. Faktor utama yang membezakan kualiti produk ini ialah iklim, komposisi tanah dan kaedah penanaman.

 

PDO Viannos Irakliou Kritis

Minyak zaitun Viannos PDO adalah salah satu produk paling terkenal yang dihasilkan di bandar Viannos, Crete. Menurut sejarah, Homer pernah menggelarkan minyak zaitun sebagai “cairan emas” dan Hippocrates menamakannya sebagai “Penyembuh Agung”. Sejak zaman purbakala, pokok zaitun dan buahnya telah dipuji sebagai simbol keamanan. Minyak zaitun Viannos dibezakan dengan rasanya yang kaya, berwarna keemasan dan rasa buah zaitun. Ini membentuk gabungan luar biasa antara iklim mikro yang unik dengan budaya berusia ratusan tahun lamanya. Minyak zaitun daripada Viannos berkualiti tinggi, Minyak Zaitun Ekstra Dara, dan sebab itulah minyak zaitun ini menerima pensijilan PDO (Penetapan Asal Terlindung).

 

PDO Messara

Ini Minyak Zaitun Ekstra Dara yang luar biasa dari wilayah Mesara yang terkenal di Crete, Greece. Minyak ini berasal daripada variasi Koroneiki. Minyak ini mempunyai warna hijau yang terang, dan apabila matang akan berwarna kuning kehijauan. Aroma buah ini kuat dan berbau buah. Rasanya pahit dan pedas, menyebabkan rasa hangat di dalam tekak. Minyak zaitun ini unik dengan bahan semula jadi, kaya dengan rasa dan aroma buah yang menyenangkan, berkhasiat, dengan tahap keasidan rendah sehingga 0.2%, tanpa bahan kimia. Minyak ini dihasilkan secara semula jadi dengan hanya mengekstrak buah zaitun di bawah tekanan sejuk untuk mengekalkan semua vitamin yang tersimpan. Minyak zaitun ini amat bagus digunakan dalam masakan Mediterranean, salad, sayur-sayuran, daging, ikan, dan ayam. Disebabkan cuaca panas dan kering yang berlaku di wilayah Messara di Heraklion, Selatan Crete, kandungan asid lemak tak tepu produk ini meningkat, menjadikan Minyak Zaitun Ekstra Dara ini luar biasa dengan nilai nutrisi yang tinggi.

 

PDO Kolymvari Chanion Kritis

Minyak Zaitun Ekstra Dara Kolymvari kebanyakannya berasal daripada variasi Koroneiki di wilayah Chania, Crete. Pengeluaran minyak zaitun di pulau ini berlaku ketika kemuncak kegemilangan tamadun Minos, dan merupakan salah satu produk utama yang dieksport ke seluruh dunia melalui perdagangan maritim serta membawa kekayaan yang melimpah ruah kepada penduduknya. Keadaan tanah dan iklim di pulau tersebut sesuai untuk penanaman buah zaitun yang dikhususkan untuk penghasilan minyak zaitun. Minyak Zaitun Ekstra Dara ini dihasilkan dalam keadaan sejuk, maka, ini mengekalkan semua ciri organoleptiknya serta bebas daripada sebarang kelembapan dan bendasing. Pengeluaran minyak zaitun dilakukan tanpa sebarang pemprosesan kimia, yang bertujuan untuk menghasilkan produk akhir berkualiti terbaik pada skala global, dengan tahap keasidan yang sangat rendah dan ciri bernutrisi yang unik. Ini menghasilkan minyak zaitun dengan rasa yang tiada tandingan serta aroma tersendiri yang sesuai untuk digunakan pada salad, pasta dan sayur-sayuran gril. Minyak ini juga terkenal dengan nilai nutrisinya. Disebabkan faktor ini, Minyak Zaitun Ekstra Dara Kolymvari terkenal bukan sahaja di Greece malah di seluruh dunia, dan kini semua orang boleh mendapatkannya di mana-mana sahaja.

 

Dibiayai oleh Kesatuan Eropah. Walau bagaimanapun, pandangan dan pendapat yang dinyatakan adalah pandangan pengarang semata-mata dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Kesatuan Eropah atau Agensi Eksekutif Penyelidikan Eropah (REA). Kesatuan Eropah mahupun pihak berkuasa yang memberi kebenaran tidak akan bertanggungjawab ke atasnya.

Scroll to Top